Kruiser Jerman Königsberg
Kruiser Jerman Königsberg

Kruiser Jerman Königsberg

Königsberg adalah kruiser ringan Jerman yang beroperasi antara tahun 1929 dan April 1940, termasuk perkhidmatan dalam Perang Dunia II. Ia adalah kapal sulung dari kelasnya dan telah dikendalikan oleh dua tentera laut Jerman, iaitu Reichsmarine dan Kriegsmarine. Ia mempunyai dua kapal kembar, Karlsruhe dan Köln. Königsberg dibina oleh Kriegsmarinewerft di Wilhelmshaven; ia mula dibina pada 12 April 1926, dilancarkan pada Mac 1927, dan ditauliahkan kedalam Reichsmarine pada April 1929. Ia dipersenjatai dengan 9 meriam utama 15 sm SK C/25 dalam turet kembar tiga dan mempunyai kelajuan tertinggi 32 knot (59 km/j; 37 mph).Königsberg berkhidmat sebagai kapal latihan bagi kadet laut pada 1930an, dan menyertai rondaan bukan-intervensi semasa Perang Saudara Sepanyol pada akhir 1930an. Selepas Perang Dunia II meletus pada September 1939, ia memasang ranjau defensif di Laut Utara dan kemudian mengambil bahagian dalam Operasi Weserübung, iaitu pencerobohan Norway pada April 1940. Semasa menyerang Bergen, ia dirosakkan dengan teruk oleh artileri pantai Norway, dan ditenggelamkan oleh pesawat pejuang pengebom Blackburn Skua dari Pasukan Udara Armada keesokan harinya di pelabuhan. Bangkai kapal itu akhirnya diangkat naik pada 1942 dan dipecah-pecahkan untuk sekerap pada tahun berikutnya.